SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ini ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Akta tersebut telah
diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulungnya pula diadakan pada 24
April 2000.
Penyertaan
Malaysia yang aktif di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Commission for Human Rights-UNCHR) telah
menyebabkan Malaysia juga berusaha menubuhkan sebuah institusi hak asasi
manusia pada peringkat nasional pada tahun 1993 hingga 1995. Pada waktu itu,
Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Seterusnya pada tahun 1995, Malaysia
diberi penghormatan iaitu dilantik sebagai Pengerusi sesi ke-52 UNCHR. Ketua
perwakilan pada masa itu adalah Tan Sri Dato’ Musa Hitam.
MENGAPA MALAYSIA MENUBUHKAN SUHAKAM?
Kerajaan Malaysia telah
mempertimbangkan sebab-sebab yang mendorong penubuhan sebuah institusi
kebangsaan hak asasi manusia ini. Antara sebab-sebabnya adalah :
1. Penglibatan Malaysia yang
aktif di dalam UNCHR.
2. Perhatian antarabangsa
terhadap isu-isu hak asasi manusia natijah daripada kejayaan Persidangan
Sedunia berhubung Hak Asasi Manusia pada tahun 1993 di Vienna.
3. Kerajaan-kerajaan yang
menyertai UNCHR termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia
meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga meyedari
peri pentingnya diwujudkan badan-badan hak asasi manusia di peringkat negara
masing-masing.
BEBERAPA FAKTOR YANG MENDORONG CADANGAN INI
1.Terdapat tekanan
yang semakin meluas di peringkat antarabangsa terhadap hak asasi manusia dan
kesedaran bahawa isu ini melewati sempadan dan kedaulatan sebuah negara.
2. Penglibatan
Malaysia dalam sistem Bangsa-bangsa Bersatu.
3. Suasana politik
Malaysia yang kian bertukar dengan para pengundinya semakin menyedari
perkembangan politik di samping masyarakat awam yang bergerak maju dan
bertambah peka tentang politik.
Maka,
sebagai ketua perwakilan Malaysia ke UNCHR, Tan Sri Dato’ Musa Hitam
mencadangkan buat pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia iaitu pada tahun
1994 inilah masanya yang terbaik bagi Malaysia menubuhkan badan hak asasi
kebangsaannya sendiri yang bebas.
RANG UNDANG-UNDANG
Pada 24 April 1999, lima tahun selepas
idea itu diajukan, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengumumkan bahawa
Kerajaan akan membentang satu Rang Undang-undang dalam sidang Parlimen pada
bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Rang Undang-undang ini berpandukan kepada
Prinsip Paris 1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan
sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga pengalaman yang ada
pada institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya di rantau
Asia Pasifik.
PERLANTIKAN
Pada 3 April 2000, Kerajaan mengumumkan
perlantikan pengerusi pertama SUHAKAM iaitu Tan Sri Dato’ Musa bin Hitam dan 12
ahli Suruhanjaya yang akan berkhidmat selama dua tahun dan penggal perkhidmatan
mereka boleh dilanjutkan. Pelantikan tersebut dilakukan oleh Seri Paduka
Baginda Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20 orang ahli, namun begitu keputusan
telah dibuat bahawa SUHAKAM akan memulakan tugasnya dengan 13 ahli sahaja pada
waktu itu sehinggalah apabila lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli SUHAKAM
dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang
kaum dan juga berdasarkan pengalaman, iltizam, kebebasan dan kewibawaan
individu berkenaan.
PERANAN SUHAKAM
Peranan SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam
Seksyen 4(1) adalah:
a) Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan
pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.
b) Untuk menasihati dan membantu Kerajaan
dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan
mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.
c) Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan
berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara
antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
d) Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan
pelanggaran hak asasi manusia.
Selain
daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi
perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948
selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini
bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi
ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada
percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan
pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh
Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan
penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi, di samping
bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Justeru itu, SUHAKAM tidak
boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu
keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah di putuskan dengan
muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang
sedang disiasat dibawa ke mahkamah.
BIDANG KUASA SUHAKAM
Akta
penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya
dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2)
dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM
diberikan kuasa:
a) Untuk memupuk kesedaran mengenai hak
asasi manusia dan untuk mengakujanji mengadakan penyelidikan dengan
mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan
mengedarkan hasil penyelidikan itu.
b) Untuk menasihati Kerajaan dan / atau
pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan
mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak berkuasa itu langkah-langkah
sesuai yang hendaklah diambil.
c) Untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa
pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.
d) Untuk melawat tempat tahanan mengikut
tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat
tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
e) Untuk mengeluarkan pernyataan awam
mengenai hak asasi manusia apabila perlu.
f) Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti
sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuakuasa, jika
ada, berhubung dengan aktiviti itu.
KEPENTINGAN SUHAKAM KEPADA RAKYAT
Penubuhan SUHAKAM pada tahun 1999
telah banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mereka. SUHAKAM memainkan peranan penting sebagai
medium perantaraan di antara rakyat dengan kerajaan. Pertubuhan ini telah memudahkan prosedur
pengaduan yang melibatkan kerajaan.
Rakyat Malaysia yang ditindas atau tidak mendapat hak yang sepatutnya
sebagai individu di Malaysia boleh mengadu kepada SUHAKAM untuk campurtangan
dan seterusnya membantu mereka meyelesaikan masalah yang dialami oleh pengadu.
Pihak
SUHAKAM bersedia membantu tanpa adanya sikap pilih kasih. Penyiasatan akan dibuat berdasarkan aduan
yang diterima. Sekiranya kes yang
dilaporkan benar, pihak SUHAKAM dengan sedaya upaya akan cuba untuk membantu
menyelesaikannya dengan pihak yang bertanggungjawab. SUHAKAM juga telah menyedarkan masyarakat
bahawa mereka mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri dan selagi sesuatu
perkara yang berlaku tidak melanggar hak kebebasan asasi individu mereka boleh
hidup dengan aman dan damai. Andai kata
terjadi sesuatu perkara yang melanggar hak kebebasan asasi mereka, setiap individu boleh melaporkan perkara itu
kepada SUHAKAM untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.
Bagi
memudahkan urusan pengaduan, SUHAKAM
telah membahagikan kumpulan kerja mengikut bidang tertentu iaitu Kumpulan Kerja
Pendidikan dan Promosi Hak Asasi Manusia, Kumpulan kerja Pembaharuan
Perundangan dan Triti Antarabangsa, Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan dan
Kumpulan kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.
Sikap
proaktif SUHAKAM telah memberi keyakinan kepada umum bahawa Suruhanjaya ini
mampu membantu menyelesaikan masalah yang diadukan kerana mereka sanggup turun
padang tidak kira di mana sekalipun ia berlaku.
Maka tidak hairanlah banyak kes yang diadukan dapat diselesaikan oleh
SUHAKAM dan hingga kini aduan yang diterima telah bertambah. Ini menunjukkan masyarakat telah mengiktiraf
SUHAKAM dan peranannya dalam masyarakat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan